السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
CUIT-CUIT UST KAY (Sabtu, 24 Rejab 1435H)
Ketawa, Menangis, Ketawa, Menangis, Ketawa, Menangis...
Ketawa boleh menjadi penawar duka. Kebuntuan fikiran seolah-olah hilang apabila mendengar suara anak ketawa menyambut kepulangan kita dari tempat kerja. Ketawa dan menangis adalah sebahagian proses semula jadi yang dianugerahkan Allah SWT kepada kita.
PENCERAHAN :
Berbanding ketawa, menangis adalah proses lebih rumit. Air mata boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:
1. Air Mata Basal (untuk melembapkan mata).
2. Air Mata Refleks (seperti apabila mengupas bawang atau terkena habuk).
3. Air Mata Emosi (bila ada perubahan emosi).
Sebenarnya menangis bukan perkara memalukan atau lambang kelemahan. Saidina Umar Al-Khattab r.a, Khalid Al-Walid dan para sahabat yang lain merupakan panglima dan pahlawan tentera yang gagah berani di medan perang di siang hari tapi hamba Allah yang paling banyak menangis pada waktu malamnya.
Individu yang tidak menangis, terutama apabila mengalami tragedi seperti kematian atau bila kecewa, sebenarnya lebih menderita secara fizikal kerana tidak dapat meluahkan keperitan yang dialami melalui tangisan. Jadi jika anda sedih, menangislah..! Sebab, kita akan merasa lebih tenang, insya Allah !
Jika menangis boleh meredakan perasaan, ketawa pula dianggap sebagai ubat terbaik dalam merawat apa jua masalah kejiwaan. Pendapat ini ada benarnya kerana badan secara semula jadi berehat apabila kita ketawa. Antara manfaat ketawa yang lain ialah;
1. Merangsang mood baik (feel good factor !)
2. Meningkatkan daya ketahanan badan.
3. Memperbaiki fungsi otak untuk saling berhubung.
4. Melegakan perasaan yang duka lara.
5. Membuatkan kita berasa lebih selesa.
Saintis mendapati, ketawa sebanyak 100 kali mempunyai manfaat sama dengan bersenam 10 hingga 15 minit. Ketawa membantu merangsang proses pemulihan dengan merendahkan tekanan darah dan melancarkan aliran darah. Kajian mendapati apabila kita ketawa, satu gelombang elektrik terhasil dan mengalir dalam otak. Banyak bahagian otak, termasuk bahagian yang mengawal emosi, daya intelek dan pergerakan, saling berhubung ketika kita ketawa. Hilanglah stress hahaha...!
TETAPI... Salah satu asbab kita akan dicampak ke dalam api neraka Allah ialah banyak gelak ketawa. Simple, tapi kesannya cukup dahsyat. Orang yang ingat Akhirat tiada ruang untuk ketawa sebenarnya. Imam Hasan Al-Basri berkata: "Sungguh ajaib seseorang dapat tertawa pada hal dibelakangnya ada api neraka dan orang yang bersuka-suka sedang dibelakangnya maut."
Hasan Al-Basri bertemu dengan pemuda yang sedang tertawa, lalu ditanya: "Hai anak, apakah engkau sudah menyeberang titian sirat?" Jawabnya: "Belum." "Apakah engkau pasti engkau akan masuk syurga atau neraka?" Jawabnya: "Belum." "Lalu kerana apa engkau tertawa sedemikian itu?" Sejak itu pemuda itu tidak tertawa lagi...
Ibn Abbas r.a. berkata: "Siapa yang tertawa ketika berbuat dosa maka ia akan menangis ketika akan masuk neraka." Orang yang lebih banyak ketawa didunia merekalah yang lebih banyak menangis diakhirat. Firman Allah SWT ;
وَتَضْحَكُونَ وَلَا تَبْكُونَ
"... Kenapa kamu tertawa, dan kamu tidak mahu menangis?" (menyesali kesalahan serta takutkan balasan buruk yang akan menimpa kamu) (QS. An-Najm :60)
KESIMPULAN :
Hari ini, masyarakat kita banyak disogokkan dengan program-program lawak jenaka. Tidak ada program lawak sebenarnya yang mampu mengajak manusia untuk berfikir pada alam akhirat atau menyebabkan mereka menangis penuh keinsafan. Tetapi yang jelas bahawa mereka diajak untuk ketawa dan terus tertawa hingga lupa matlamat sebenar penciptaan mereka...
Wallahu a'lam - Orang yang menang, yang banyak menangis ! Ukay's.
Posted via Blogaway
No comments:
Post a Comment